PROSEDUR mudah bedah jantung lembu telah dikongsi oleh Guru Sains Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib menerusi blog Cikgu Hailmi, baru-baru ini.

Beliau yang terpilih mengikuti High School Teacher Programme 2019, di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), di Geneva, Switzerland, Julai lalu turut memuatkan beberapa keping gambar membedah jantung lembu, bagi memudahkan pemahaman semua guru dan pelajar.

Ikuti perkongsian tersebut.

**********

Prosedur mudah bedah jantung lembu

Untuk tajuk Sistem Peredaran Darah Manusia dalam Sains Tingkatan 3 KSSM, ada satu subtopik yang berkaitan dengan Jantung.

Jadi apabila dicadangkan oleh seorang rakan mengenai aktiviti membedah jantung lembu, saya cuba sahut cabaran tersebut dengan juga niat mencari pengalaman baharu untuk berkongsi ilmu. Tajuk yang sama juga adalah bagi pembelajaran Biologi di Tingkatan Empat.

Yang bestnya aktiviti membedah jantung lembu nie boleh terus dapat tiga perkara sekaligus,

1) Sebagai aktiviti pembelajaran untuk murid.

2) Aktiviti PLC dalam kalangan guru Sains.

3) LADAP bagi Pembantu Makmal serta paling penting juga memberi satu pengalaman bermakna buat saya dan semua yang terlibat!

Yea, rakan-rakan guru Sains yang lain juga excited nak ikut serta.

Ketua Panitia, Cikgu Zakiah, Cikgu Noriza dan Cikgu Azimah, ditambah juga dengan pengetua, Puan Siti Rubiah yang ditemani oleh Pegawai SISC+ Kubang Pasu, Puan Rozita serta semua pembantu makmal; Kak Linda, Kak Mariah dan juga Sohina.

Tak nak menghampakan ramai pelajar yang dah tak sabar nak tengok jantung lembu camna, maka saya study lah sungguh-sungguh daripada Youtube. Susah betul wooo nak cari video bedah jantung lembu yang dalam Bahasa Melayu. Hampir tiada!

Maka saya ambil peluang terbaik ini juga untuk hasilkan video bedah jantung lembu untuk kegunaan pelajar lain, serta rakan guru yang mungkin berhajat nak buat aktiviti camni, tapi tak tahu prosedur.

Tip guru berpengalaman

Selain menonton video-video di Youtube, saya juga cuba dapatkan pandangan daripada rakan guru, terutamanya cikgu-cikgu Biologi yang berpengalaman.

Antara nasihat yang diberikan mereka adalah:

1) Gunakan jantung lembu yang bersaiz lebih besar, berbanding dengan jantung ayam. Kecik sangat sampai apa pun tak nampak nanti.

2) Perlu bedah pada bahagian jantung dengan betul. Sebab silap bedah, jantung hancur dan tak boleh nampak pun bahagian dalam jantung tu.

3) Masa tempah jantung juga, pesan dengan pakcik jual daging lembu tu jangan potong urat-urat tu rapat sangat dengan jantung. Nanti susah nak pastikan salur darah mana satu nanti.

4) Setelah kenal pasti salur darah yang berkenaan, masukkan juga air daripada satu salur darah untuk tunjukkan bahawa salur-salur darah tersebut terpisah oleh septum.

Alhamdulillah semua tip-tip nie sangat membantu saya dalam bersedia untuk menjalankan aktiviti membedah jantung lembu tersebut dengan baik.

Tempah jantung lembu

Jadi, seminggu sebelum aktiviti dijalankan saya cuba tempah dengan pakcik jual daging lembu tempatan di pasar basah berdekatan. Pakcik nie memang baik. Katanya, kena tempah awal, sebab kalau tak, kebiasaannya mereka akan siap-siap belah untuk dibahagikan sama rata.

Harganya bergantung kepada saiz jantung lembu. Kebetulan pula masa hari tempahan, saya dapat jantung lembu dengan saiz yang agak besar. Kosnya lebih kurang RM70. Dan seperti yang dipesan, supaya urat / salur darah tu tak dipotong dengan terlalu pendek. Thank you pakcik!

Sampai jer di sekolah saya mohon supaya pembantu makmal, Kak Linda supaya membantu saya membersihkan jantung lembu tersebut. Bersihkan daripada darah, dan juga buang siket lemak-lemak yang menyelaputi jantung lembu tu. Lepas dah bersihkan, baru lah nampak siket jantung yang sangat sihat tu.

Sambil menunggu pelajar datang, saya sempat lagi study-study video kat Youtube, bagi mengelakkan semaksimum mungkin kesilapan semasa membedah jantung tersebut. Saya juga dibantu oleh Puan Rozita, Pegawai SISC+ yang dah datang awal nak sertai bersama sesi perkongsian amalan terbaik tersebut.

Jom bedah jantung lembu!

Maka seperti yang dijanjikan operasi membedah jantung lembu pun dilakukan. Nervous juga sambil diperhatikan oleh pelajar 3 Arif, guru-guru Sains, pembantu makmal, pegawai SISC+ dan Pengetua. Hahhahaa.. Bismillah dari mula sampai lah ke habis.

Yang penting nak mula nya tu kena kenal pasti bahagian depan jantung...Ada ditunjukkan dalam video pembedahan jantung lembu nanti ya. Gunakan pisau pembedahan yang tajam dan juga sarung tangan yang bersih ya.

Alhamdulillah, saya happy sangat sebab pembedahan berlangsung dengan baik sekali. Bahagian yang dipotong tu memang cun sangat tempat nya, dan bahagian dalam dapat dilihat dengan sangat jelas. Tepat kena kat septum.

Bersama anak lelaki kesayangan Kelas 3 Arif.

Maka saya gunakan peluang tu untuk pelajar melihat dengan teliti setiap bahagian jantung, termasuk perbezaan dinding jantung dan salur darah yang sesuai dengan fungsi mereka masing-masing. Semua pun happy sebab dapat tengok dengan mata kepala mereka sendiri.

Disebabkan peluang rare ini bukannya selalu datang, maka saya biarkan di atas meja makmal, di samping menjemput seramai mungkin pelajar daripada tingkatan dan kelas lain untuk sama-sama melihat jantung lembu yang telah dibedah tersebut.

Bersama anak perempuan kesayangan Kelas 3 Arif.

Nampak sungguh bagaimana pembelajaran yang secara kontekstual boleh memberikan impak berbeza dan bermakna kepada pelajar.

Yang penting pengalaman pada hari ini, sangat bermakna buat saya. Satu aktiviti pembelajaran untuk pelajar, tetapi memberi kepuasan kepada diri sendiri dan juga semoga menjadi panduan berguna buat guru lain yang juga mungkin memerlukan. Semoga bermanfaat dan membantu!

Sumber: Blog Cikgu Hailmi

Perkongsian teknik:

Teknik Linosains beri peluang pelajar 'menyanyi' sambil hafal fakta

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal

Kerana teknik mengajar yang Teacher Dilla buat, murid Tahun Satu dan Dua semangat nak datang sekolah

‘PdPc mudah faham dan menyeronokkan’ - Cikgu Nithiya kongsi kelainan, belajar sambil makan