SHAH ALAM - Guru Cemerlang Sains Norhailmi Abdul Mutalib  atau lebih mesra dikenal Cikgu Hailmi berkongsi cara pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains.

Kali ini, beliau berkongsi kaedah menarik pdpc bagi Bab 6 tingkatan 5 yang bertajuk 'Makanan'.

Beliau meminta pelajarnya cari maklumat mengenai bahan kimia yang ada dalam sampel makanan dibawa pelajar.

Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan satu kumpulan dikehendaki memilih satu bahan kimia.

Norhailmi

Mereka kemudiannya perlu menghasilkan infografik secara berkumpulan mengenai bahan kimia terbabit sebelum membuat pembentangan.

Kata Cikgu Hailmi, pelajar kemudiannya dikehendaki mengenal pasti beberapa bahan termasuk bahan pengawet, pemanis dan peluntur digunakan dalam makanan yang mereka bawa.

"Melalui aktiviti ini mereka dapat mengenal pasti bahan pengawet, pemanis, perisa dan pelbagai lagi yang digunakan dalam makanan," katanya.

Infografik yang dibuat pelajar SMK Jerlun yang bertajuk 'Bahan Kimia dalam Makanan.'


 

 

Menariknya, kata beliau, melalui aktiviti itu mereka dapati ada satu kesamaan yang ada dalam setiap makanan yang dibawa, iaitu semua sampel mengandungi gula.

"Pelajar juga perlu mencari maklumat mengenai kesan penggunaan bahan kimia itu secara berlebihan dan ini menyedarkan mereka mengenai penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan seimbang.

"Saya melihat pelajar seronok dengan pembelajaran secara inkuiri ini yang turut mempunyai ciri pembelajaran abad ke-21," katanya.

Kaedah ini memperlukan pelajar berkolaborasi, memggunakan pemikiran kritis dan kreatif dan akhirnya membentangkan hasil pencarian dan ini merupakan ciri pembelajaran abad ke-21.

Beliau merupakan Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dan baru-baru ini telah mengikuti program Honeywell Educators di Akademi Angkasa Lepas bertempat di Pusat Roket dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat.