Umum ketahui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung ketika ini dan calon bagi aliran Sains akan menduduki kertas mata pelajaran Biologi pada 16 Mac ini.

Guru Biologi Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Kelantan, Cikgu Mardiana Syarita Mohd Razmin berkongsi beberapa teknik mudah bagi membantu calon-calon menjawab soalan struktur dan esei dalam Kertas Dua Biologi.

Beliau berkata, paling penting, calon perlu terlebih dahulu memahami dengan jelas kehendak soalan termasuk mengenalpasti pokok soalan, rangsangan, kata tugas, kata kunci dan markah yang diperuntukkan bagi setiap soalan diberikan.

Untuk lebih jelas, Cikgu Mardiana turut menggunakan contoh soalan Biologi pada tahun-tahun sebelum ini seperti pada rajah di bawah:

Pokok soalan adalah memberi gambaran kepada kita tajuk yang ditanya. Contoh dalam soalan tersebut, berkemungkinan besar adalah tajuk enzim dalam Bab 4 Tingkatan 4 iaitu Komposisi Kimia dalam Sel. Jadi ia membantu kita berfikir dengan lebih berfokus.

Rangsangan adalah seperti rajah, jadual, graf atau pernyataan. Calon perlu perhatikan dengan teliti rangsangan. Kerana ia akan memandu kita untuk menjawab soalan dengan lebih tepat.

Kadangkala di dalam rangsangan sudah ada jawapan cuma kita perlu tulis dalam ayat dan masukkan istilah-istilah penting dan tepat. Ejaan dan terminologi mestilah tepat kerana jika berlaku kesilapan, boleh mengakibatkan calon kehilangan markah.

Kata tugas ada banyak. Berikut disertakan beberapa contoh kata tugas:

1) Labelkan / Namakan / Nyatakan / Berikan: Beri jawapan pendek tetapi tepat.

2) Terangkan: Perlu ada fakta dan penerangan. Jelaskan bagaimana dan mengapa sesuatu situasi berlaku. Berikan sebab dan akibat serta punca bagi situasi tersebut. Bergantung kepada kehendak soalan.

3) Huraikan / Bincangkan: Perlu ada fakta dan penerangan. Beri perincian bagi proses, mekanisma atau tugasan. Memerihalkan dengan panjang lebar dan terperinci. Jika ada turutan seperti proses mitosis, maka perlu huraikan mengikut turutan bermula dari profasa, metafasa, anafasa dan telofasa.

4) Banding dan bezakan: Perlu memberi persamaan dan perbezaan. Banding itu sendiri sudah memberi erti supaya memberi persamaan dan perbezaan. Tetapi supaya lebih jelas, biasanya akan digunakan banding dan bezakan.

Kata kunci adalah apa yang ditanya. Ia akan membantu kita memberi jawapan yang lebih tepat mengikut kehendak soalan.

Markah yang diberi akan membantu kita untuk meramalkan berapa sekurang-kurangnya isi dan penerangan yang perlu diberi. Hal ini supaya kita akan berjaya dapat skor markah sebanyak mungkin lalu membantu kita mendapat markah keseluruhan dan gred yang lebih tinggi.

Tiap kali calon menjawab soalan, sentiasa tanamkan dalam diri, jawab sebanyak mungkin untuk skor markah tinggi tetapi masih dalam masa yang diperuntukkan supaya masa menjawab mencukupi.

Paling penting, apabila membuat latihan pada mana-mana kertas peperiksaan Biologi, setkan masa mengikut masa SPM sebenar bagi setiap kertas yang dijawab.

Bagi Kertas 1, pastikan masa menjawab latihan tersebut dan membuat semakan mestilah dalam tempoh 1 jam 15 minit.

Untuk Kertas 2 pula, pastikan masa menjawab dan membuat semakan mestilah dalam tempoh 2 jam 30 minit manakala, untuk Kertas 3 setkan masa mesti siap jawab dan semak berkali dalam tempoh 1 jam 30 minit.