Sesi persekolahan yang bermula semalam, diwarnai dengan pelbagai kerenah lucu, babak air mata dan 'kes kecemasan' bagi kanak-kanak Tabika Kemas Indera Mahkota, Kuantan.

Keadaan masih terkawal walaupun ada di antara murid-murid menangis mahu ikut pulang bersama ibu bapa mereka. Bagi Norzalina Mohamed, pengalaman sejak lima tahun lalu itu ditanganinya penuh sabar saat berdepan kerenah kanak-kanak pada hari pertama persekolahan.

"Basuh najis dan mencuci bilik darjah yang terkena air kencing kanak-kanak perkara biasa setiap tahun. Ada yang senang dipujuk, ada juga yang terpaksa dibiarkan tenang sendiri. Itu adalah peranan guru untuk memujuk," katanya.

Menurutnya, pendekatan psikologi penting ketika berdepan masalah kanak-kanak yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah.

"Biasanya, mereka akan berkenalan dan mengenali kawan-kawan terlebih dahulu sebelum fokus dalam sesi pelajaran," katanya.

Salehudin Osman, 47, berkata anaknya Maizatul Azarina, 5, seperti tidak selesa kerana tidak pernah bersekolah sebelum ini.

"Anak saya tidak pernah berpisah dengan ibunya. Itu yang dia tak mahu ibunya keluar dari kelas. Mujurlah tak lama dan dia boleh ditinggalkan". Bagi Nor Azalan Abdullah 51, pula, pada awal pagi, anaknya Nor Alliyysa, 5, teruja untuk ke sekolah.

"Mula-mula dia janji tak mahu menangis, tapi bila tengok kawan lain menangis, dia pun menangis sama.

"Tapi saya yakin masalah ini sekejap saja. Selepas ini dia akan gembira untuk ke sekolah jumpa cikgu dan kawan-kawan," katanya.

Semalam, seramai 60 murid-murid Tabika Kemas Indera Mahkota berumur lima dan enam tahun memulakan sesi persekolahan.