SATU kesulitan dalam menghadapi pembelajaran abad ke 21 adalah mengajarkan pelajar teknik untuk berfikir secara Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

KBAT ini walaupun sebenarnya sudah lama wujud sejak penciptaan Model Taksonomi Bloom, tetapi barulah kini semakin giat dipromosikan sebagai kemahiran berfikir yang juga boleh diajar kepada semua aras pelajar, tanpa perlu lagi melalui KBAR, iaitu Kemahiran Berfikir Aras Rendah.

Jom kita tengok beberapa cara dan strategi yang boleh digunakan oleh rakan guru bagi menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT.

1) Tingkatkan soalan aras tinggi

Bagi membiasakan pelajar dengan soalan sebegini, maka guru hendaklah sentiasa memberikan soalan berbentuk KBAT. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas tahap pemikiran seseorang pelajar itu.

Tapi, bagaimana yang dikatakan dengan soalan KBAT? Antara ciri-ciri soalan KBAT adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir pelajar pada tahap Analisa, Sintesis dan juga Penilaian. Soalan-soalan berbentuk ‘Wajarkan’, ‘Cadangkan’, ‘Ramalkan’ adalah antara beberapa kata tugas yang memerlukan pelajar menguasai KBAT. Maka perbanyakanlah soalan-soalan yang sebegitu.

2) Mempelbagaikan aktiviti penyelesaian masalah

Bagi menggalakkan juga pelajar berfikir secara KBAT, maka guru bolehlah memperbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah. Dalam situasi baru yang diberi, pelajar perlu lah menggunakan kemahiran menganalisa, mensintesis dan juga menilai apakah konsep yang bersesuaian dan boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Objektif dalam menyelesaikan masalah juga haruslah diterapkan iaitu bagi membolehkan kita membuat penyelesaian yang terbaik, meneroka dan mempertimbangkan pelbagai pilihan dengan sebanyak mungkin, dan membolehkan kita bertindak atas keputusan yang telah diambil kira semua faktor serta kesan akibatnya.

Secara ringkas, langkah-langkah menyelesaikan masalah adalah bermula dengan menyedari apakah permasalahan, memahami masalah, meneroka pilihan-pilihan penyelesaian, meninjau kesan akibat daripada pilihan-pilihan dan juga memilih pilihan terbaik sebagai penyelesaian.

3) Teknik menyoal

Teknik menyoal adalah teknik paling lama dan paling popular dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam PdP dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isi pelajar dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam PdP bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Salah satu perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk mendapatkan sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Tujuan teknik penyoalan

- Melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi

- Mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain

- Menegaskan kepentingan isi

- Mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri

- Mengesan pengetahuan berbahasa pelajar

- Menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatid, logik dan juga kritis

- Mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar

Walau bagaimanapun, penggunaan teknik penyoalan adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan yang dikemukakan untuk menganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi.

Di sini juga saya sertakan sedikit Panduan Penyoalan yang betul bagi membantu guru untuk mengasah pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar.

Prinsip Panduan Penyoalan

- Soalan hendaklah dirancang

- Soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar

- Aras soalan tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar

- Beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan

- Kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas

- Elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja

- Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid

- Bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid

- Soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas

- Soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir

- Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya

- Soalan hendaklah ringkas dan juga jelas

4) Aktiviti pemikiran aras tinggi dalam buku teks

Tanpa kebanyakan daripada kita sedari, buku teks yang disediakan sudah lama mengandungi aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi. Perhatikan semula kandungan dalam buku teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu.

Maka gunakanlah sebaiknya aktiviti dalam buku teks tersebut bagi membentuk pelajar yang mahir dalam menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT

5) Pembelajaran berasaskan projek

Satu lagi perkara yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan memperbanyakkan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek, project-based learning (PBL).

Pembelajaran berasakan projek merupakan pelaksanaan program atau aktiviti dalam jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama, misalnya menyediakan soalan berkaitan projek dan mengimplementasikan penyelidikan dengan mengumpulkan data, menganalisis data dan menghasilkan laporan samada secara lisan atau pun bertulis.

Dengan ini pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan proses kemahiran berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Maka pelajar perlu dilibatkan dalam proses pengajaran yang aktif dan menyeronokkan seperti kaedah projek. Pelaksanaan STEM juga mampu menjadi pemangkin kepada pembelajaran berasaskan projek.

6) Menggunakan alat berfikir

Strategi terakhir dalam mengajar pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan menggunakan alat berfikir. Alat berfikir mampu membantu pelajar menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkesan. Pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Ini adalah antara alat-alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan ketrampilan dalam berfikir, iaitu:

- Soalan dan penyoalan

- Peta Minda

- Pengurusan Grafik

- CoRT

- i-Think

- 6 Thinking Hat

Alat pengurusan grafik juga dikenali sebagai peta pengetahuan, peta konsep, peta cerita dan alat pengurusan kognitif. Alat komunikasi yang menggunakan simbol untuk menggambarkan pengetahuan, konsep, pemikiran, idea-idea dan juga hubungan antara mereka. Tujuan utama pengurusan grafik adalah untuk menyediakan bantuan visual bagi membantu pelajar berfikir.

Alat CoRT (Cognitive Research Trust) merupakan instrumen kognitif dalam bentuk garis panduan yang digunakan untuk meningkatakn kualiti pemikiran seseorang. Penggunaan alat ini dapat memandu pelajar untuk membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai faktor, menyelesaikan masalah, meluaskan pandangan terhadap sesuatu isu, meneliti kesan terhadap suatu tindaka, meneroka kepentingan apabila diberi pelbagai pilihan serta melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan.

Semoga dengan perkongsian ini mampu memberikan guru sedikit pencerahan mengenai kaedah dan strategi yang boleh diguna pakai dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT dalam kalangan pelajar.

SUMBER: Blog Cikgu Hailmi

ARTIKEL MENARIK:

'Tariklah saya ke syurga' - Pesan Cikgu Khairul dalam video tular peluk murid Pendidikan Khas

‘Saya nak jaga mak, ayah…”- Guru ini dedah kisah sebenar tinggalkan pelajar istimewa

Patutlah beliau dinobat Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia.. niatnya murni, usahanya tanpa batas

Tragedi bot terjunam ke dasar tasik - 'Perginya' Cikgu Fauzi buat Cikgu Rahman rindu kenangan lalu

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya