Menggalakkan suasana pembelajaran menyeronokkan ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) mendorong seorang guru pendidikan seni visual untuk lebih kreatif memanfaatkan tiga aplikasi media sosial seperti YouTube, TikTok dan Padlet.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13, Subang Jaya, Selangor, Cikgu Irma Rahayu Ibrahim berkata platform tersebut dapat membantu pelajar memahami teori silibus dan mempraktikkannya dalam tugasan diberikan.

Tambah beliau, kaedah interaktif itu penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) walaupun tanpa pembelajaran secara bersemuka.

“Kita tahu pendidikan seni visual ini banyak kepada latihan amali jadi saya fikir apa kaedah sesuai untuk pelajar lebih-lebih lagi ketika PdPR ini, jadi saya cuba guna aplikasi media sosial ini sebaiknya.

“Pelajar beritahu mereka suka dengan kaedah video ini kerana boleh ditonton berulang kali dan paling penting mereka dapat siapkan tugasan diberikan dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya kepada GPS Bestari.

Berkongsi lebih lanjut, Cikgu Irma Rahayu menjelaskan beliau turut mewujudkan galeri seni secara maya melalui aplikasi padlet untuk meningkatkan kefahaman pelajarnya.

Jelas beliau, aplikasi TikTok juga dipraktikkan dalam sesi pengajarannya seperti cara untuk menyebut nama tokoh dan pelukis antarabangsa dengan betul.

“Ini juga penting kerana pelajar perlu tahu dan hafal nama tersebut khususnya dalam membantu menjawab peperiksaan kelak.

Cikgu Irma Rahayu juga mengakui norma baharu ketika ini menuntut beliau supaya lebih kreatif menggunakan kepelbagaian platform media sosial terutama bagi memastikan kelangsungan PdP pelajar meskipun secara dalam talian.