“Saya nak buat video, tapi malu nak rakam video, rasa pelik sebab dengar suara sendiri.’

Ya, ini antara penghalang terbesar untuk guru-guru berkarya dan menghasilkan video. Bagi membuang rasa malu dan gemuruh, Guru subjek Matematik, Cikgu Muhammad Saffuan Jaffar  dari SK Long Sepiling, Sarawak, berkongsi tip yang boleh cikgu-cikgu cuba nanti.

“Untuk pengetahuan semua,  saya juga hadapi masalah yang sama, bukan setakat malu tetapi sangat gemuruh bila nak mulakan sesi rakaman. Sebagai guru, saya sendiri tidak lari daripada rasa gugup dan malu ketika berhadapan dengan kamera, sama ada sesi rakaman mahupun live. Sebagai rujukan, saya senaraikan apa yang perlu cikgu-cikgu lakukan sebelum beraksi di hadapan kamera. Selamat mencuba cikgu...” – Cikgu Muhammad Saffuan.

Berikut ini, beberapa perkongsian tip daripada Cikgu Saffuan.

1. Catat

Saya catat secara ringkas apa yang saya nak cakap, contohnya jika video mengajar Matematik, apa yang saya nak ajar akan saya tulis step by step terlebih dahulu. Untuk slide pembelajaran, saya akan masukkan point pada ruangan speaker note sebagai rujukan.

2. Tempat

Saya memilih tempat rakaman jauh daripada pandangan atau tempat laluan orang, sebab saya akan jadi gelabah jika ada yang memerhati. Bila di tempat yang jauh daripada orang, rasa yakin sikit nak "action" depan murid.

3. Bertenang

Nak bertenang, saya akan tarik nafas sebelum saya mulakan sesi rakaman. Bila dah mula record saya akan senyum depan kamera selama lima saat. Cuba buat ya.

4. Lawan

Perasaan takut dan malu kena lawan, makin rasa malu, akan rasa bertambah takut. Jadi, jangan lari dan kena lawan perasaan itu. Ketika PKP 1.0 dahulu, target saya satu  hari satu  video, tujuannya adalah untuk  lawan rasa gemuruh dan takut.

5. Belajar

Ambil peluang belajar dengan menonton video orang lain. Saya suka tengok kelas live rakan guru, orang jual barang online dan gamers. Menerusinya saya dapat belajar bagaimana mereka berhadapan dengan kamera, apa yang mereka buat terutamanya ketika sesi live.

Jika sesi live anda, wujud interaksi dua hala, ia sedikit sebanyak dapat kurangkan rasa gemuruh, malah seronok pun ada.

“Sesi live pertama saya bersama dengan Pusat STEM Negara, ketika itu saya mengendalikan Bengkel Syoknya Teroka Ilmu di rumah. Terus terang saya sangat gemuruh, saya gunakan tip di atas untuk kurangkan rasa gementar itu.

“Saya perlu habiskan sesi dalam masa satu jam. Saya rancang pengajaran bengkel, dan buat aktiviti seorang diri terlebih dahulu.Kemudian saya minta rakan untuk jadi anak murid dan saya kendalikan sesi live dengan membuat aktiviti bina pop-up 3D. Alhamdulillah, pada hari bengkel dilaksanakan, semuanya dapat berjalan dengan lancar.

"Belajar daripada sesi live orang lain, anda akan dapat aplikasikan cara berinteraksi dengan penonton semasa sesi live. Begitu juga dengan sesi rakaman video, dulu susah saya nak buka mulut dan suara saya sangat perlahan, alhamdulillah saya dapat perbaiki kelemahan. Saya belum berpuas hati dan InsyaAllah kalau ada peluang saya nak baiki dan belajar lagi. Selamat mencuba ya!,” Cikgu Saffuan.