Kes ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan satu fenomena negatif yang sering berlaku dalam era pendidikan hari ini.

Perlakuan ini akan mengundang pelbagai masalah disiplin jika tidak dibendung.

Di peringkat sekolah, kes ponteng dikendalikan oleh unit disiplin dan unit bimbingan kaunseling. Apabila pelajar didapati terlibat dengan masalah disiplin,
unit disiplin akan bertindak mengambil maklumat mengenai pelajar tersebut dan dirujuk kepada pihak kaunseling.

Seterusnya guru bimbingan dan kaunseling akan bertindak memanggil pelajar berkenaan dan mengadakan sesi kaunseling. Terdapat dua jenis sesi kaunseling iaitu sesi kaunseling individu dan sesi kaunseling kelompok.

Segelintir pelajar ponteng mengakui hanya mengikut kawan untuk melepak, ke kafe Siber untuk bermain permainan video dan ada juga menyatakan mereka bosan berada di dalam kelas.
Hal ini terjadi kerana pelajar yang rata-ratanya berada di kelas hujung ini kurang berminat untuk belajar.

Keluarga yang bermasalah dan ibu bapa terlalu sibuk bekerja juga memberi impak kepada anak-anak. Anak yang kurang pemantauan dan pengawasan ibu bapa ini berpeluang untuk cuba melakukan perkara negatif.

Namun tidak semua pelajar yang ponteng itu nakal, tetapi mereka ini kurang berminat dalam bidang akademik. Sekiranya mereka ini dipaksa untuk belajar, keputusannya mungkin
tidak begitu memberangsangkan.

Kini Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif dengan membantu golongan murid ini dalam pelbagai bidang kemahiran.

Unit bimbingan dan kaunseling sekolah selaku penggerak utama berusaha menganjurkan program berkaitan seperti ceramah dan lawatan kerjaya.

Mereka akan diberi pendedahan mengenai hala tuju masa hadapan mereka. Pelbagai aktiviti dan kokurikulum disediakan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelek.

Semua pihak perlulah berganding bahu membimbing pelajar ke arah masa hadapan yang cerah.