Bagi guru yang mengajar kelas tahun satu, hari pertama persekolahan setiap tahun merupakan hari pertama mereka memulakan tanggungjawab dan peranan sebagai 'ibu bapa' di sekolah kepada kanak-kanak yang mendaftar sebagai murid tahun satu.

Seorang guru, Shuhaini Mohd Amin berkata, tahun ini merupakan tahun kelapan beliau mengajar kelas tahun 1 dan banyak pengalaman berdepan karenah mereka yang terdiri daripada golongan yang aktif serta kurang aktif.

“Segelintir murid-murid tahun 1 ini kebiasaannya akan menangis atau mahu mengikut ibu bapa mereka pulang dan ketika itulah kami akan memeluk murid berkenaan untuk menenangkannya. Ketika itu jugalah detik kami mula menjadi ibu bapa kepada mereka.

“Namun begitu keadaan seperti ini selalunya pada hari pertama sahaja memandangkan mereka belum kenal antara satu sama lain. Pada hari kedua mereka akan semakin baik selepas mula bergaul dengan rakan sekelas,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sesi pertama hari persekolahan tahun 2016 di  SK Sungai Puteri, Rompin yang menyaksikan seramai 86 murid tahun satu mendaftar di sekolah berkenaan berbanding 78 murid sahaja pada tahun lalu.

Menurut Shuhaini, murid tahun 1 yang aktif atau kurang aktif perlu diberikan pendekatan yang berbeza untuk mengawal mereka seperti kaedah yang tegas tetapi tidak garang serta teknik pujukan.
Sementara itu, seorang ibu, Rahimah Abdul Rahim, 29, yang ditemui berkata, anaknya begitu teruja untuk pergi ke sekolah pada hari ini (semalam) dan ternyata dia tidak kisah ditinggalkan serta mampu berdikari.

“Anak saya sangat seronok nak sekolah hinggakan tiap hari dia tanya bila nak mula sekolah. Walaupun dia tiada masalah tetapi pagi ini (semalam) saya tunggu sekejap sebab nak tengok gelagat dia dalam kelas,” katanya.