Berdasarkan kajian soal selidik murid yang ponteng dan maklumat rakan guru disiplin di pelbagai sekolah, antara faktor yang mendorong kes ini adalah cara pengajaran guru yang
membosankan, tidak menguasai pedagogi pembelajaran dengan baik.

Ini menyebabkan guru tersebut bertindak mengikut perasaan diri bukan mengikut teknik dan cara yang betul dalam menangani masalah murid di dalam kelas.

Tidak boleh tidak, guru perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan walaupun mereka mengajar bukan subjek opsyen mereka kerana ia juga suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Guru seharusnya mengutamakan kemenjadian murid-murid di sekolah sejajar dengan pembelajaran abad ke-21 sebagaimana terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Ada juga guru yang menganggap pelajar itu tidak penting. Guru jenis ini hanya sekadar melepaskan batok di tangga, masuk sahaja kelas terus minta murid buka buku dan habis sahaja kelas terus keluar.

Ada juga kes murid-murid trauma untuk ke sekolah kerana takut didenda oleh guru contohnya mereka gagal menyiapkan latihan yang diberi. Kadang-kadang didenda dikenakan tidak masuk akal, sedangkan denda adalah bertujuan mendisiplinkan murid dan bukan menjadi beban murid.

Ibu bapa juga penyumbang kepada faktor murid mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. Ini termasuk faktor institusi keluarga berantakan dan tidak mengambil berat kehidupan anak.

Ibu bapa seharusnya tidak terlalu percayakan mahupun manjakan anak yang boleh menjadi semakin naik kepala. Sikap ibu bapa suka merendah-rendahkan anak yang mendapat keputusan corot juga boleh menyebabkan anak rasa tersisih.

Sepatutnya ibu bapa perlu peluk dan pujian agar si anak berusaha untuk mendapat keputusan lebih baik.