MURID atau PELAJAR?

Ramai yang masih keliru dan tidak pasti sama ada kedua-dua kata ini ada beza atau tidak.

Mungkin ramai yang beranggapan ia sama. Murid untuk sekolah rendah, manakala pelajar untuk sekolah menengah.

Tapi adakah benar penggunaannya itu?  

Cuba tanya diri sendiri.

Saya ada anak murid.

Saya ada anak pelajar.

Ikuti penjelasan Guru Bahasa Melayu, Cikgu Tan menerusi perkongsian yang dimuatkan dalam Blog Cikgu Tan CL.  

Jika anda guru, anda ada anak murid, maka muridlah mereka. “Anak pelajar” pula merujuk anak yang dipunyai oleh pelajar seseorang guru. Lihat ayat di bawah:

Banyak pelajar saya sudah berkahwin. Ada juga anak pelajar saya yang sudah belajar di prasekolah.

Di sekolah rendah dan di sekolah menengah ada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka, sesuailah digelar murid.

Di institusi pengajian tinggi pula ada Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Maka, sesuailah digelar pelajar universiti, bukan murid universiti.

Dalam penulisan, yang belajar juga digelar pelajar. Yang diajar juga digelar pelajar. Yang menjadi anak murid juga digelar murid, dan yang berguru tetap digelar murid.

Jangan menghukum murid yang menyalahgunakan istilah “murid” mahupun “pelajar” kerana konsep asasnya sama, iaitu menuntut ilmu.

Belajarlah menjadi murid yang mahir berbahasa agar kita dapat belajar menjadi insan yang terpelajar.

Ilmu ada di mana-mana, pengetahuan boleh ditimba pada bila-bila dan belajarlah daripada siapa-siapa agar masa depan terjamin sampai bila-bila dan dapat digunakan di mana-mana apabila kita menghadapi siapa-siapa ataupun apa-apa cabaran sekalipun.

 

Sumber: Blog Cikgu Tan CL http://cikgutancl.blogspot.com