Kesungguhan tinggi untuk membantu pelajar yang kurang minat terhadap subjek Sains dan Biologi mendorong seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor menggunakan pendekatan komik yang dihasilkannya sendiri.

Ketua Panitia Biologi sekolah tersebut, Cikgu Norafiza Razilah berkata, penghasilan komik itu bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik pembelajaran, di samping memupuk keseronokan mereka untuk belajar Sains.

“Pelajar-pelajar ini terdiri golongan remaja yang gemar membaca komik secara bercetak atau elektronik (e-komik) jadi disebabkan bahan bacaan ini dekat di hati mereka, ia beri ilham kepada saya untuk pelbagaikan lagi kaedah pengajaran dengan menggunakan komik.

“Lukisan dihasilkan menggunakan gambar ahli keluarga saya sendiri dan kemudiannya digabungkan di dalam aplikasi Comica serta mencipta dialog mengikut topik yang diajar, malah saya juga tertarik dengan komik Biologi yang dihasilkan oleh rakan maya di Facebook iaitu Cikgu Fazlie Biosensei,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Cikgu Norafiza, di samping mahu pelajar faham sesuatu topik dipelajari dengan baik, pendekatan kreatif itu juga dilihat dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Pendekatan kreatif ini untuk pastikan pelajar faham tentang apa yang dipelajari dan bukan sekadar mendengar tutorial serta membuat latihan sahaja. Hasilnya terdapat peningkatan kehadiran pelajar pada setiap kali PdPR berlangsung menggunakan aplikasi Google Meet.

“Saya sentiasa fikirkan keadah terbaik untuk pastikan pelajar seronok ikuti PdPR dan komik Sc-AUDI dihasilkan ini mendapat maklum balas yang positif daripada pelajar malah ramai di antara mereka memaklumkan lebih seronok untuk belajar Sains,” katanya.

Menurut Cikgu Norafiza lagi, pihak pentadbiran sekolah terutama pengetua amat memberi sokongan dan galakan kepada semua guru untuk mencuba pelbagai jenis pendekatan yang mampu menarik minat pelajar mengikuti sesi pengajaran serta pembelajaran (PdP).

“Kebiasaannya saya akan kongsikan pendekatan PdP di Facebook dan ia mendapat respon positif daripada rakan guru serta ibu bapa malah ada antara rakan guru meminta saya anjurkan kelas tutorial cara menghasilkan komik untuk kegunaan pengajaran mereka.

“Sebagai pendidik, saya sentiasa berusaha untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, jadi pelajar mestilah menyertai setiap kelas dan aktiviti (PdPR) dijalankan dengan aktif sebagai tanda penghargaan buat guru mereka,” katanya.