Segelintir pelajar mungkin berasa subjek Sains itu sukar kerana perlu fahami dan menghafal banyak topik, teori mahupun eksperimen, namun ia akan lebih menyeronokkan sekiranya mereka mempelajari dengan teknik yang betul.

Ini dapat dilihat menerusi perkongsian Guru Cemerlang Sains Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Perlis, Cikgu Sharifah Noraziah Syed Ali yang menerapkan kaedah didik hibur dalam bentuk lagu menerusi video dihasilkan.

Tambah beliau, pendekatan tersebut adalah satu daripada kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 yang telah lama digunakannya di samping salah satu cara menarik minat murid untuk membaca nota Sains secara santai tetapi bermakna.

“Murid bukan sekadar bernyanyi, tetapi melatih diri mencari isi-isi penting di dalam lirik lagu. Memandangkan pada ketika ini semua sekolah melaksanakan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), ia sedikit sebanyak membantu guru-guru dalam penyediaan bahan serta memudahkan murid belajar di rumah.

“Penggunaan lagu parodi sebagai nota ini sesuai melalui pelbagai pendekatan pembelajaran, sama ada pembelajaran secara bersemuka, online, pembelajaran kendiri berstruktur mahupun pembelajaran teradun (blended learning) yang menggabungkan ketiga-tiga kaedah tersebut,” katanya kepda GPS Bestari.

Menurut Cikgu Sharifah Aziah lagi, pendekatan menggunakan lagu popular dan melodi yang dikenali murid dilihat lebih efektif kerana sesetengah mereka lebih mudah mengingati fakta menerusi lagu berbanding dengan hanya membaca teks sahaja.

“Sambutan murid di dalam kelas sangat menggalakkan kerana mereka sangat teruja dan seronok dapat bernyanyi sambil membuat gaya badan.

“Dalam suasana PdPR ini, murid mungkin berasa lebih bebas bernyanyi dengan pelbagai gaya dan intonasi di rumah tanpa berasa malu,” katanya.

Sebagai pendidik, beliau akan terus komited menggunakan kaedah yang dekat dengan jiwa murid selain memastikan mereka memahami sepenuhnya topik pembelajaran dengan sebaiknya.

“Guru-guru semakin giat meningkatkan kemahiran menggunakan pelbagai kaedah seperti menghasilkan video, bahan interaktif, animasi dan sebagainya demi memudahkan penyampaian ilmu kepada murid.

“Selain lagu parodi, saya juga mencuba pelbagai kaedah untuk menghasilkan bahan PdPR yang bersesuaian untuk kegunaan murid sendiri dan juga seluruh Malaysia seperti penyediaan video PdPC dan Tiktok Pendidikan yang mendapat sambutan kini,” katanya.

Bagi mendapatkan perkongsian lebih jelas, murid boleh tonton Youtube Cikgu Sharifah Aziah: Lagu Mikroorganisma - YouTube