Proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) memberi cabaran yang tersendiri kepada guru dan pelajar.

Pun begitu, dalam kesibukan mengikuti pembelajaran harian, pelajar diingatkan supaya menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan untuk mengelakkan diri daripada perkara tidak diingini seperti faktor tekanan, peningkatan berat badan mahupun risiko penyakit.

Ikuti lima panduan bermanfaat dikongsikan Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, Perak, Cikgu Siti Sarah Zulkipli untuk memastikan pelajar-pelajar sentiasa aktif dan sihat di rumah.

 

1) Menggalakkan pelajar melakukan aktiviti senaman setiap hari

Guru boleh memberi tugasan ringkas kepada pelajar seperti meminta setiap murid membuat video ringkas senaman setiap hari. Pelajar juga boleh menentukan jenis senaman yang ingin dilakukan.

 

2) Membuat beberapa sesi persembahan makanan sihat

Pelajar boleh menyediakan makanan sihat sendiri di rumah dan berkongsi dengan rakan-rakan sekelas dalam bentuk gambar atau video pendek. Perkongsian menu dan persembahan tata rias makanan secara tidak lansung menjadikan pelajar lebih kreatif dan bersemangat.

 

3) Membuat ‘challenge’ antara rakan sekelas

Guru boleh menganjurkan ‘challenge’ antara pelajar di dalam kelas. Sebagai contoh, ‘plank’ seminit selama 14 hari, tekan tubi sebanyak 50 kali selama 14 hari, ‘squart' 30 kali selama 14 hari, menu makanan sihat selama 14 hari dan sebagainya. Cabaran ini akan menarik minat pelajar untuk bersaing sesama rakan sekelas. Guru juga boleh menjadi hakim di dalam cabaran dijalankan ini.

 

4) Memberi tugasan seperti senaman aerobik

Pada masa kini, tidak dinafikan aplikasi tiktok semakin mendapat sambutan. Jadi, platform ini membolehkan guru menjadi lebih kreatif dengan meminta pelajar mencipta gerak langkah senaman aerobik sendiri. Ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar lebih aktif dan kreatif.

 

5) Guru sebagai ‘role model’

Paling penting, jika guru mahukan pelajar kekal aktif dan sihat, guru perlu menjadi ‘role model’ terlebih dahulu buat mereka. Sebagai contoh, guru buat dan kemudiannya kongsi dengan pelajar. Sudah pasti mereka akan turut teruja dan ingin menjadi aktif dan sihat seperti gurunya. Ini memang menjadi. Cubalah.

 

Ini baru sebahagian tip dan panduan yang dikongsikan. Sebagai pendidik, pastinya guru-guru ada panduan dan kaedah tersendiri untuk memastikan pelajar kekal aktif dan sihat sekali gus dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan sebaiknya.