NORMAL baharu dalam dunia pendidikan sudah semakin diterima oleh kebanyakan warga pendidik di seluruh dunia.

Pandemik Covid-19 yang berlaku ini seolah-olah merancakkan kreativiti dan inovasi para pendidik untuk mencari kaedah menyampaikan ilmu kepada murid secara jarak jauh ataupun dikenali sebagai kelas maya.

Pelbagai aplikasi dan medium untuk sidang video pembelajaran telah digunakan oleh para pendidik antaranya Google Meet, Zoom dan Webex.

Guru Cemerlang Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Johor Bahru, Cikgu Latifah Tarkep atau lebih dikenali sebagai Cikgu L juga turut merasai tempias kesan ledakan teknologi dunia pendidikan maya ini.

Kini, nama Cikgu L kian dikenali di laman sosial Youtube kerana inisiatifnya menggunakan pelantar StreamYard untuk merealisasikan PdPc maya bersama anak-anak muridnya.

Lebih menarik, live streaming Sembang Santai GCBM yang dirintis oleh beliau telah menjadi rujukan oleh semua murid dan guru Bahasa Melayu seluruh negara.

Taip sahaja channel Cikgu L Ahlia Zahid, pasti anak-anak murid yang mencari sumber rujukan Bahasa Melayu PT3 dan SPM akan tersenyum lega. Hampir 30 buah video pembelajaran Bahasa Melayu dan Sembang Santai GCBM telah dihasilkan oleh Cikgu L dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Wow!

Kreativiti beliau yang mengintegrasikan teknologi dalam PdPc Bahasa Melayu telah berjaya menarik minat pelajar untuk mengikuti kelasnya.

Pada masa yang sama, live streaming yang dilakukan telah memberikan peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan diri dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar pada masa hadapan.

Kombinasi PdPc dengan kaedah flipped classroom yang digunakan oleh Cikgu L dalam kelasnya membolehkan pelajar membuat persediaan tentang tajuk yang akan diajar oleh Cikgu L. Hasilnya mereka lebih fokus dalam perbincangan di dalam kelas maya.

Inovasi PdP yang dilakukan oleh Cikgu L dalam memudahkan penyampaian maklumat kepada murid-murid ketika PKP telah menarik minat banyak pihak termasuklah PPD Pasir Gudang.

Sambutan Hari Guru pada tahun ini juga memberikan kenangan manis kepada beliau kerana telah dipilih menjadi Guru Ikon (Inovatif PdPc) Tahun 2020, Peringkat Daerah Pasir Gudang.  

Bagi yang ingin membuat rujukan, boleh layari:

Channel Youtube : Cikgu L Ahlia Zahid

Facebook : Latifah Tarkep

Cikgu L