Berapa agaknya duit belanja sekolah bagi seorang pelajar sekarang? Dengan nilai wang zaman ini, pasti pening kepala juga ibu bapa atau penjaga hendak sediakan bajet duit poket,
apa lagi sekiranya anak ramai.

Bagi yang tiada masalah memberi duit belanja sekolah, isunya pula risaukan makanan apa dibeli si anak di sekolah. Jika perut diisi dengan makanan mengenyangkan dan menyihatkan
tidak mengapa.

Namun jika anak-anak main 'belasah' beli dan makan apa disukai dengan duit belanja sekolah diberi, lain pula ceritanya. Akibat biasa kita dengar, anak jadi obes atau kurang
makan makanan berzat.

Apa tidaknya, jika dah terlalu suka dan sering makan ayam goreng, nuget, coklat, makanan segera serta lain-lain di sekolah tanpa pantauan ibu bapa, pasti akan undang kesannya.

Jumlah duit belanja sekolah anak dan perkaitannya dengan pembelian makanan di sekolah fokus utama GPSBestari.com pada minggu pertama persekolahan ini.

Berkongsi pandangan, pakar motivasi kewangan dan keusahawanan, Dr Niki Shuhada Shukor berkata, kebanyakan ibu bapa masa kini hanya menghulurkan sahaja duit belanja sekolah,
namun tak mendidik dari segi tabungan.

"Seharusnya anak kita perlu mendapat pendidikan kewangan atau harus diajar 'value of money' daripada dia mula boleh bercakap. Terangkan salasilah bagaimana duit itu boleh
'datang' ke rumah kita. Misalnya apa ibu perlu lalui untuk dapatkan duit, beli makanan dan sebagainya.

"Patut beritahu mana datangnya saluran duit, supaya dia hormati dan tidak boros, termasuk tidak bazirkan makanan, tetapi hanya beli yang berkhasiat dan berfaedah," katanya.

Menurutnya, daripada awal lagi sudah perlu mengajarkan kepada anak-anak di peringkat awal hubungan antara duit dan kehidupan.

Katanya, daripada anak itu sudah mula belajar ada duit, harus diajarkan formula kewangan. Contoh formula mudah, ingat tak zaman dulu ada tabung ayam? Tapi sekarang sudah banyak
jenis tabung untuk galakkan anak-anak kita menyimpan.

"Saya ada seorang kawan hasilkan tabung kanak-kanak. Dia ada jual set tabung, ada tiga jenis tabung. Satu 'tabung simpan', satu 'tabung kegunaan' dan satu lagi 'tabung akhirat'
untuk sedekah. Jadi dari kecil sebenarnya kita boleh berikan tabung sedemikian kepada anak-anak," katanya.

Ajar anak belanja cara bajet

"Jangan lupa sentiasa pesan kepada anak-anak apabila pulang ke rumah dari sekolah pastikan membawa balik lebihan wang belanja sekolah. Jika diberi RM10 sehari.. ingatkan tidak
habiskan semua, jangan membazir makanan - cuba jimat," kata Niki.

Bagi memastikan berapa banyak perlu disimpan oleh anak-anak dalam tabung disediakan di rumah, Niki berkata, ibu bapa sendiri perlu buat tinjauan di kantin sekolah untuk
mengetahui harga makanan.

"Kita perlu tahu dan bajetkan untuk dia. Misalnya ajarkan "abang... makan ini dan itu, barulah abang akan ada lebihan wang". Kena ajar anak dari kecil, mungkin boleh seawal
4 tahun.

"Saya pun sering ajar anak-anak dan pelabur-pelabur, kalau RM10 masuk, kita dah kenakan khas RM5... RM5. RM5 tangan kanan, RM5 lagi tangan kiri, separuh-separuh. Sebelum itu,
jangan lupa perlu tolak tax (cukai) dan zakat. Zakat dan cukai pendapatan kiranya masuk tabung sedekah.

"Kemudian yang tangan kanan untuk simpan, tangan kiri untuk belanja. Ini selalu saya beritahu," katanya.

Mengulas pemberian wang saku sekolah berlebihan hingga anak membazir membeli makanan tidak sihat dan tidak tahu cara menyimpan, kata Niki sekiranya mempunyai 'asas menghormati
wang' walau kita mempunyai wang sebanyak mana pun, jika dibazirkan kepada benda-benda tidak baik, itu adalah pembaziran. Itu seharusnya diingati anak-anak.