Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan kembali selepas cuti sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri bagi semua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah seluruh negara.

Setiap kali PdPR dijalankan, guru-guru pasti akan menghadapi pelbagai rintangan terutamanya membabitkan isu kehadiran murid atau pembabitan mereka terhadap PdPR.

Tidak dinafikan juga, terdapat ramai murid tidak dapat mengikuti PdPR disebabkan masalah lain seperti gangguan kemudahan internet, tiada alat peranti, ibu bapa yang bekerja dan lain – lain lagi.

Sebaliknya, walaupun mempunyai kemudahan yang lengkap bagi PdPR, ada segelintir murid tidak mahu menyertai PdPR.

Hal ini demikian kerana, mereka tidak mempunyai motivasi intrinsik iaitu motivasi yang didorong oleh kepentingan atau kepuasan diri sendiri dan bukannya bergantung pada sebarang tekanan luar.

Secara mudahnya, boleh dikatakan semangat belajar dalam kalangan murid menerusi PdPR dilihat semakin menurun.

Sehubungan itu, Guru Cemerlang SK Tenang Stesen, Cikgu Gopal R Mahalingam berkongsi tip yang boleh digunakan oleh guru-guru di luar sana bagi meningkatkan penglibatan murid dalam PdPR.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Antara tips yang boleh guru gunakan untuk meningkatkan penglibatan murid terhadap PdPR adalah seperti berikut :

1) Gambaran Awal Terhadap Proses PdPR

Sebelum PdPR bermula, guru-guru perlu memberikan satu penerangan padat mengenai cara PdPR dikendalikan bagi subjek yang diajar kepada muridnya. Hal ini membolehkan murid-murid dapat satu gambaran awal mengenai cara belajar, cara menghantar tugasan, cara mendapatkan nota dan lain-lain lagi. Mereka juga boleh bersedia untuk belajar mengikut cara yang ditentukan oleh gurunya. Hal ini kerana, ada guru suka menggunakan modul dan memberikan penerangan dalam bentuk video, manakala ada guru menjalankan kelasnya atas talian (google meet, zoom dan lain-lain lagi). Guru – guru yang hendak menggunakan modul atau lembaran, perlu menunjukkan dan menerangkannya kepada murid. Misalnya, cara menggunakan modul, berapa tugasan perlu dibuat dalam sehari dan lain-lain lagi.

2) Sijil Penghargaan

Guru boleh menyediakan sijil – sijil penghargaan kepada murid yang berjaya menyertai PdPR sepenuhnya. Sebelum PdPR dimulakan secara rasminya, guru– guru perlu memaparkan atau menunjukkan sijil yang akan diterima oleh muridnya sekiranya menyertai PdPR dengan berjaya. Hal ini membolehkan mereka lebih bersemangat untuk belajar dan beriltizam untuk mendapatkan sijil penghargaan daripada guru besar atau guru kelasnya.

3) Kerjasama dengan murid dan ibu bapa

Guru – guru boleh bincang bersama murid dan ibu bapa mengenai cara melaksanakan PdPR. Ada murid suka mengikuti PdPR secara talian, ada yang suka secara offline iaitu membuat modul yang diberi dan ada murid lebih mesra dengan video pengajaran yang dihantar oleh gurunya menerusi aplikasi Whatsapp atau Telegram. Maka guru boleh minta pandangan murid-murid supaya mereka boleh menyertai PdPR dan kelasnya berjalan lancar. Guru – guru yang ingin menjalankan kelas secara online bolehlah berbincang dengan ibu bapa mengenai masa yang sesuai untuk menjalankan kelasnya. Hal ini kerana, ada ibu bapa bekerja sehingga petang. Mereka tidak dapat menyediakan kemudahan seperti alat peranti dan internet kepada anaknya. Anaknya perlu menunggu ibu bapa pulang ke rumah. Maka guru-guru boleh berbincang masa atau waktu yang lebih sesuai bagi majoriti murid dalam kelasnya. Bukan semua guru boleh membuat kelasnya pada sebelah petang disebabkan hal keluarga. Maka guru perlu ikut kesesuaiannya.

Artikel menarik

'Saya tak pandai pakcik, tapi emak selalu tekan supaya dapat 6A' - Luahan murid ini buat ramai sedih

2 tahun tak dapat balik kampung, gadis Borneo nekad teruskan pengajian