Pelbagai kaedah kreatif dipraktikkan para guru untuk memastikan suasana Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) lebih menyeronokkan serta mampu menarik minat pelajar untuk mengikuti setiap topik pembelajaran dengan baik.

Guru Cemerlang Perpustakaan Media yang juga merupakan Guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar, Kupang, Baling, Kedah, Ustaz Mohammad Noor Azlan Idris berkata, pendekatan digunakan adalah menerusi kaedah penghasilan video ringkas dan menyeluruh yang dimuat naik ke dalam YouTube serta aplikasi TikTok.

“Pendekatan kreatif sangat perlu bagi seorang guru dalam memastikan kelancaran PdPR kerana murid tidak dapat bersemuka dan kita perlu mengajar mereka seolah-olah seperti belajar di dalam kelas.

“Kaedah penyampaian juga perlu dipelbagaikan seperti terapkan unsur didik hibur dan penerangan secara ringkas. Sebagai contoh, ada juga video saya yang hanya berdurasi seminit bagi tajuk-tajuk kecil untuk memudahkan pelajar memahami serta menyelesaikan masalah kekurangan data,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Menurut Ustaz Noor Azlan, pendekatan penghasilan video pembelajaran telah dimulakannya sejak pelaksanaaan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Ketika itu, saya mula guna pendekatan PdPR dengan berkongsi video pembelajaran menerusi Whatsapp dan Facebook, selain menerima maklum balas baik daripada guru serta pelajar. Disebabkan kekurangan ilmu dan peralatan, sesi rakaman dilakukan pada waktu malam ketika anak-anak sedang tidur.

“Pada 16 Ogos tahun lalu, saya telah mewujudkan sebuah studio rakaman di sekolah iaitu dari sebuah stor kerusi dan meja dinaik taraf kepada sebuah studio untuk kegunaan pihak sekolah, malah turut anjurkan kursus penghasilan video bagi guru sekolah untuk kegunaan PdPR mereka,” katanya.

Tambah Ustaz Noor Azlan lagi, sambutan diterima daripada ibu bapa dan pelajar adalah sangat menggalakkan terutama melalui perkongsian yang dimuat naik di saluran YouTube “Ustaz Abah”.

“Kita semua perlu menerima hakikat bahawa Pandemik Covid 19 telah memberi sedikit perubahan kepada gaya pengajaran dan pembelajaran, justeru kita perlu memperkasa pembelajaran secara maya ini khususnya dalam mendepani cabaran pembelajaran abad ke-21 akan datang.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, ibu bapa serta keluarga yang telah banyak membantu usaha saya selama ini,” katanya.