Bermula awal bulan lalu, maklumat bahan bacaan murid melalui Program NILAM perlu diisi ke Sistem IQ-Nilam yang disediakan oleh Bahagian Sumber Teknologi dan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui laman sesawang iqnilam.moe.gov.my.

Murid boleh mengaksesnya dengan menggunakan ID DELIMA murid yang telah disediakan pihak sekolah.

Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Cikgu Nurafidah Mohd Khalid berkata, seiring pembelajaran norma baharu, IQ-Nilam merupakan sistem yang menggantikan perekodan secara manual sebelum ini, sama ada menggunakan buku, helaian kertas atau kad.

Menurutnya, platform tersebut amat baik dan bertepatan terutama untuk menggalakkan budaya membaca serta meningkatkan ilmu pengetahuan murid.  

“Walaupun murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa, aktiviti membaca tidak boleh dipinggirkan, pencarian ilmu tetap perlu diteruskan walau apa jua perubahan keadaan sekalipun.

“Nampaknya Sistem IQ-Nilam ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid sekolah kami, malah data direkodkan menunjukkan ada antara mereka yang telah mencapai bacaan hampir 1000 walaupun sistem ini baru diperkenalkan awal bulan lalu,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Cikgu Nurafidah, pelbagai platform digunakan pihak sekolah khususnya bagi menarik dan meningkatkan minat murid membaca bahan-bahan ilmiah.

“Sebagai contoh, kami menyediakan pelbagai pertandingan untuk murid sertai saban tahun seperti ikon membaca dan tokoh nilam, malah pelbagai hadiah menarik disediakan oleh pihak pusat sumber sekolah.

“Bukan setakat murid, pertandingan turut melibatkan penyertaan guru-guru dan ibu bapa, jadi pendekatan ini secara tidak langsung dapat tarik keseronokan mereka dengan budaya membaca,” katanya.

 

Berikut disertakan beberapa langkah mudah untuk panduan murid merekodkan bacaan nilam ke dalam Sistem IQ-Nilam: