Debaran kian terasa terutama bagi calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 22 Februari ini.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangasaan, Petaling Utama, Cikgu Surihani Ismail berkongsi beberapa tip bermanfaat khusus bagi membantu calon melakukan persiapan akhir menghadapi peperiksaan penting ini.

 

1) Jaga kesihatan diri dari segi fizikal, mental, rohani dan jasmani

Elakkan diri daripada terdedah dengan cuaca panas terik dan hujan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan calon seperti sakit kepala, selsema ataupun demam.

Calon juga boleh melakukan senaman ringan setiap hari dan elakkan daripada memikirkan masalah yang boleh menganggu fokus anda sebelum dan ketika peperiksaan berlangsung.

 

2) Amalkan perkara-perkara POSITIF yang sewajarnya

Mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa dengan menjaga solat fardu, lakukan solat sunat hajat dan kewajipan yang lain.

Calon juga mestilah memohon restu dan doa ibu bapa serta memohon kemaafan dengan orang lain, di samping tenangkan diri sebelum dan ketika peperiksaan diadakan.

 

3) Ulangkaji pelajaran menggunakan nota ringkas

Calon boleh cuba ‘flash back’ segala ilmu yang dipelajari selama ini. Berfikirlah dengan tenang dan rehatkan minda. Sebaiknya nota-nota ringkas itu hendaklah ditulis sendiri supaya senang untuk difahami.

 

4) Ulangkaji secara perseorangan

Kaedah ini dapat menghindarkan anda daripada bersembang dengan rakan-rakan lain dan dapat memberi tumpuan serta fokus kepada pembelajaran.

 

5) Pastikan segala dokumen penting dijaga dengan baik

Calon perlu memastikan semua dokumen dan keperluan ketika menghadiri peperiksaan seperti kad pengenalan, slip dan jadual peperiksaan disediakan serta dijaga dengan sebaiknya.

 

6) Semak semula jadual peperiksaan

Calon mesti tahu maklumat penting seperti mata pelajaran yang diambil, bilik peperiksaan dan tarikh serta masa peperiksaan itu berlangsung.

 

7)  Sediakan semua keperluan peperiksaan alat tulis seperti pensel 2B, pen, pemadam dan alatan lain yang diperlukan bagi menghadapi peperiksaan

Selain itu, pakaian juga mestilah bersih dan kemas mengikut keselesaan anda, pada masa sama, pastikan jam tangan yang digunakan berfungsi dengan baik.

 

8) Rancang waktu tidur dan bangun awal

Menjelang hari peperiksaan, pastikan calon-calon tidur dengan secukupnya. Hal ini kerana masa tidur yang berkualiti amat penting supaya badan dapat rehat secukupnya, lebih segar dan bertenaga.

Elakkan juga menonton televisyen terlalu lama dan bangun awal untuk membuat persiapan sebelum melangkah ke bilik / dewan peperiksaan.

 

Semoga perkongsian bermanfaat Cikgu Surihani dapat membantu calon SPM menghadapi peepriksaan dengan sebaiknya, sekali gus melakar kecemerlangan yang membanggakan.