GURU Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Tanjong Karang, Selangor, Cikgu Raja Anizam Putri Raja Izham, menggunakan teknik Lagu Inovasi Sains atau Linosains sepanjang PdPC berlangsung.

Beliau yang mengajar Tingkatan Lima Global di sekolah tersebut berkata, kaedah itu sangat tepat dalam meningkatkan daya ingatan berkenaan fakta beberapa topik mata pelajaran Sains.

"Saya harap, pelajar-pelajar saya akan datang, dapat mencipta kejayaan luar biasa dalam subjek Sains, menerusi kaedah yang digunakan ini," katanya kepada GPS Bestari.

Ikuti perkongsian teknik mengajar Cikgu Raja Anizam Putri pada anak didiknya.

**********

Teknik Lagu Inovasi Sains atau ringkasnya Linosains bertujuan untuk meningkatkan daya ingatan berkenaan fakta dalam beberapa topik mata pelajaran Sains.

Teknik ini digunakan bagi kelas belakang memandangkan mereka selalu kurang fokus dan minat dalam pelajaran Sains.

Ia bermula apabila saya melihat kecenderungan pelajar saya, Tingkatan 5 Global, pada waktu itu ialah menyanyi di dalam kelas.

Sambil menyalin nota menyanyi, sambil buat eksperimen menyanyi bahkan semasa saya menyampaikan isi pelajaran yang kadang-kadang terkait dengan bait-bait dalam lirik lagu pun mereka akan menyambungnya dengan nyanyian. Apabila situasi itu berlaku membuatkan saya juga kadang-kadang terikut menyanyi sama. Jadi, saya berpendapat kenapa tidak mereka nyanyi yang ada kaitan dengan isi pelajaran?

Saya memulakan dengan mencari topik mudah tetapi pelajar kelas belakang susah nak score.

Daripada memilih lagu, masukkan lirik dan menghasilkan video yang mengandungi isi pelajaran dan gambar-gambar yang berkaitan dengan topik, saya memulakan video Linosains saya yang pertama iaitu tajuk Plastik.

Sambutan yang diterima dalam kalangan pelajar, sangat menggembirakan.

Kelihatan mereka seronok malah daya tumpuan juga lebih dan mereka mahu menyanyi berkali-kali sambil mengingat lirik.

Kemudian, saya teruskan dengan video kedua dan ketiga topik Pemprosesan Makanan dan Prinsip Bernoulli. Alhamdulillah, apabila mereka mula menunjukkan minat dan fokus dalam kelas, ia menjadikan proses mengingat fakta dalam topik tadi menjadi lebih mudah.

Hasil daripada kajian tindakan saya terhadap pelajar Tingkatan Lima Global batch 2016, keputusan SPM yang diumumkan pada Mac 2017 amat memeranjatkan kerana target saya pada mulanya mereka semua lulus dan paling tinggi ada yang dapat B.

Syukur pada Allah rezeki tahun itu, seorang pelajar 5 Global pecah rekod kerana mendapat A- dalam mata pelajaran Sains SPM 2016. Saya teruskan kaedah ini pada batch yang berikutnya, dengan target penambahan dua pelajar potensi A dan semua lulus.

Alhamdulillah sekali lagi rekod 2016 dipecahkan dengan keputusan Sains SPM 2017 yang diumumkan pada Mac 2018. Seorang pelajar kelas 5 Global mendapat A dan tiga orang pelajar mendapat A- dalam mata pelajaran Sains SPM 2017.

Satu pencapaian bagi saya luar biasa dan diakui oleh rakan-rakan Panitia juga yang mana kelas kedua hujung ada pelajar yang mendapat A sekaligus pada masa itu melonjakkan GPMP Sains sekolah saya dan antara penyumbang kepada GPS yang baik kepada sekolah waktu itu.

Ia merupakan kenangan terindah buat saya dan menyebabkan saya ingin menghasilkan lagi video Lagu Inovasi Sains bagi Menengah Rendah dengan menggalakkan mereka mencipta sendiri lirik dan lagu sendiri. Mahukan mereka menjadi pelajar yang Kreatif dan Inovatif tanpa mensia-siakan bakat terpendam yang mereka ada iaitu gemar menyanyi.

Cikgu Raja Anizam Putri Raja Izham

- Merupakan guru subjek Sains Menengah Rendah dan Menengah Atas, SMK Dato’ Harun, Tanjong Karang, Selangor

Tip Menarik:

Kerana teknik mengajar yang Teacher Dilla buat, murid Tahun Satu dan Dua semangat nak datang sekolah

Pecutan akhir lulus Kimia SPM - Cikgu Natasya Haswani kongsi empat tip mudah untuk pelajar kuasai

SPM makin hampir, guru ini kongsi tip penting apa calon perlu buat untuk SKOR A+ subjek Sains

‘PdPc mudah faham dan menyeronokkan’ - Cikgu Nithiya kongsi kelainan, belajar sambil makan