PROGRAM MaxRecall ini sesuai untuk semua peringkat umur, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke pengajian tinggi. Ia adalah teknik terpantas untuk mengingat atau menyimpan maklumat dan yang paling penting adalah dalam cara yang paling seronok!

Itu kata guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi), Cikgu Koreayati Bujang kepada GPS Bestari.

Menurutnya, teknik MaxRecall adalah program yang diperkenalkan di seluruh negara oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sekitar 2007.

“Ketika itu, guru-guru bagi subjek-subjek yang terpilih, perlu menghadiri kursus selama dua minggu.

“Antara subjek yang terlibat dengan teknik MaxRecall adalah Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains dan Matematik,” katanya.

Teknik MaxRecll memfokuskan kepada teknik mengingat tanpa menggunakan cara menghafal dan ia dipanggil sebagai ‘proses menyimpan maklumat’.

“Pelajar susah mengingat kerana maklumat disimpan dalam otak berbentuk perkataan. Dalam MaxRecall, pelajar diberi pendedahan tentang imaginasi seperti warna, saiz, aksi dan jumlah. Seronok,” katanya.

Pelajar SMKAMi melukis gambar untuk Slot Mata Minda. Slot ini menguji ketajaman imaginasi pelajar.

Secara peribadi, teknik tersebut sangat menarik kerana ia mudah digunakan oleh semua pelajar. Ia juga sejajar dengan sistem pendidikan ala PAK21.

“Macam saya, saya suka kepada apa-apa teknik yang dekat dengan pelajar seperti MaxRecall ini.

“Walaupun sekolah tidak mewajibkan, tetapi saya akan selitkan juga teknik-teknik berkaitan dalam PdPC saya,” ujarnya.

Tentang MaxRecall

Sebelum proses menyimpan maklumat dilakukan, pelajar terlebih dahulu perlu melalui aktiviti dikenali Mata Minda.

Aktiviti ini memang menarik di mana pelajar akan didedahkan tentang keupayaan daya imaginasi. Terdapat latihan melukis disediakan. Pelajar melukis objek mengikut arahan yang diberikan.

Sebagai contoh teknik mengingat yang dibuat untuk topik Sistem Lokasi Tubuh Badan dan Sistem Lokasi Tempat.

“Melalui Sistem Tubuh Badan, pelajar akan mencangkuk maklumat pada 10 lokasi tubuh badan. Manakala untuk sistem Lokasi Tempat pula, boleh memuatkan lebih daripada 40 maklumat untuk dicangkukkan,” katanya.

Sepanjang mengetengahkan teknik MaxRecall kepada pelajar, beberapa buah sekolah sekitar Miri turut berminat untuk menggunakan teknik tersebut di sekolah masing-masing.

“Kerana itu, saya telah dijemput untuk mengadakan perkongsian berkenaan MaxRecall di sekolah tertentu dan alhamdulillah, guru dan pelajar menyukainya,” jelasnya.

Perkongsian teknik MaxRecall bersama-sama pelajar SM Sains Miri.

Dalam pada itu, di SMK Agama Miri juga, turut tidak ketinggalan mengadakan perkongsian bersama-sama guru di sekolah tersebut.

“Kami berkongsi melalui aktiviti TeaShare yang diadakan setiap hari. Aktiviti ini dijalankan semasa waktu rehat dan berbentuk santai.

“Para guru yang hadir sangat teruja kerana selesai sesi perkongsian tersebut, mereka boleh praktikkan terus dalam kelas masing-masing. Kehadiran pengetua kami, Ustaz Ahmad Fauzi dalam perkongsian juga memberikan impak luar biasa.

“Antara perkongsian teknik amalan terbaik yang telah kami kongsikan selain MaxRecall adalah Whole Brain Teaching (WBT), Six Thinking Hats dan Foldables. Kami komited dalam menjayakan sesi PdPC dan sentiasa ingin mencari teknik yang berkesan dan menarik. Kami sangat berterima kasih kepada pasukan SISC+ Bahasa Inggeris dan PPD Miri yang banyak memberi tunjuk ajar dan perkongsian.” ujarnya.

Cikgu Koreayati (depan, tiga kanan) bersama-sama guru daerah Miri menerusi Perkongsian Amalan Terbaik PAK21.

Perkongsian teknik:

Teknik Linosains beri peluang pelajar 'menyanyi' sambil hafal fakta

Kerana teknik mengajar yang Teacher Dilla buat, murid Tahun Satu dan Dua semangat nak datang sekolah

‘PdPc mudah faham dan menyeronokkan’ - Cikgu Nithiya kongsi kelainan, belajar sambil makan