Guru perlu menjaga keterampilan diri kerana dia menjadi ikon dan idola penting dalam kalangan pelajar.

Apa yang ditampilkan guru dari segi imej diri melalui kekemasan berpakaian akan menjadi ikutan pelajar.

Keterampilan diri mampu menarik minat pelajar melalui apa yang dipakai oleh guru terutamanya apabila mengikut trend terkini.

Apa yang penting, ia tidak melepasi batas-batas norma dan sentiasa patuh syariah seiring perkembangan dunia hari ini.

Keterampilan yang ideal mampu menarik minat pelajar kerana ini boleh mengurangkan kebosanan dan rasa letih dengan sistem pembelajaran abad ini.

Persaingan dalam kalangan guru untuk tampil menarik adalah suatu subjektif kerana keterampilan guru yang menarik bukanlah prasyarat keseluruhan kecemerlangan pelajar dalam
akademik, malah di sana ada banyak lagi faktor pendorong kecemerlangan pelajar.

Perbezaan penampilan guru lelaki dan perempuan memang agak ketara kerana trend pakaian terkini lebih diikuti oleh guru perempuan berbanding dengan lelaki.

Gaya penampilan guru lelaki lebih ringkas dalam pemilihan pakaian dan ada segelintir yang langsung tidak kisah dengan apa mereka pakai.

Faktor lain yang membuat pelajar minat belajar adalah:

1. Bahan semasa yang seiring dengan teknologi kini kerana tanpanya mereka akan rasa ketinggalan.

2. Kaedah terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan seperti iThink & VLE Frog Pembestarian, banyak membantu pelajar ke arah pencapaian yang lebih baik kerana ia menggunakan jaringan internet.

3. Pelajar banyak menggunakan 'hands on' dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) , dilatih membuat aktiviti sendiri di bawah penyeliaan dan bimbingan guru.

Ini menjadikan pembelajaran lebih menarik dan kurang menimbulkan jurang pemisah antara guru dan pelajar.

Berkongsi pengalaman ditegur oleh pelajar mengenai penampilan diri memang suatu yang menarik.

Apabila penampilan kita menarik ke kelas seperti pakaian yang bersesuaian, pelajar akan kata “lawa cikgu hari ni".

Ini membangkitkan aura yang positif dalam diri kita untuk memberi suatu yang terbaik kepada anak didik kita.

Apa yang lebih penting keterampilan kita bukan dapat menjadi sari minda dari segi berpakaian namun yang lebih baik, sahsiah yang baik juga kita tonjolkan agar ia menjadi ikutan pelajar untuk kecemerlangan diri dari aspek akademik dan sahsiah mereka.