BERTUGAS sebagai guru Bahasa Melayu di salah sebuah sekolah menengah di Serian, Sarawak, saya sering berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah menguasai peribahasa dan makna dengan baik.

Apabila pelajar disuruh menyatakan ungkapan peribahasa dan maksud dan mengenal pasti peribahasa berdasarkan gambar, masih ramai pelajar yang lemah tahap penguasaanya.

Bagi menyelesaikan masalah ini, saya telah mereka bentuk satu pendekatan yang dapat membantu pelajar menguasai peribahasa dan makna dengan menerapkan elemen Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Pendekatan ini menerapkan kaedah pembelajaran koperatif dan dinamakan ‘Pisatum’.

Pelajar bermain kad Pisatum yang berkesan membantu mereka memahami peribahasa.

Pisatum merupakan permainan kad yang mengaplikasikan aktiviti pembelajaran peribahasa berpusatkan pelajar dan berasaskan kaedah belajar sambil bermain.

Penghasilan permainan kad ini dibuat secara eksklusif di premis percetakan dengan menggunakan perbelanjaan sendiri dan derma daripada kawan kerana kos pembuatannya agak tinggi.

Pisatum mengandungi 40 peribahasa yang dicetak secara terpisah dengan gambar yang berwarna-warni.

Permainan ini dimainkan dalam bentuk kumpulan kecil, iaitu antara tiga hingga lima orang dan pelajar perlu mencari serta memadankan pasangan kad yang terpisah.

Bentuk kad Pisatum yang membantu pelajar memahami maksud peribahasa Melayu.

 

 

 

Setiap pusingan permainan diketuai seorang pengadil.

Pendekatan ini dilihat memberi kesan yang sangat efektif kepada pelajar apabila tahap penguasaan peribahasa dan makna mereka semakin meningkat.

Peningkatan ini dapat dikesan melalui latihan dan ujian yang diberi oleh guru kepada pelajar.

Pendekatan yang digunakan ini dilihat menepati aspek PAK-21, iaitu konsep 4C1N: Komunikasi, Pemikiran Kritis, Kreativiti, Kolaboratif serta Nilai Murni dan Etika.

Walaupun kaedah ini tidak melibatkan penggunaan sebarang peranti elektronik, guru berjaya membuktikan bahawa PAK-21 masih dapat dijalankan secara interaktif dan berkesan.

Dalam proses pembelajaran menggunakan Pisatum, pelajar dilihat berkomunikasi sesama mereka, bekerjasama, saling bergantungan dan semua ahli kumpulan mempunyai peranan masing-masing dan guru bertindak sebagai fasilitator.

Kaedah yang diperkenalkan ini juga pernah mendapat Anugerah Emas dalam pertandingan The Teacher’s Innovation Carnival (T-NOVATE 2018) peringkat antarabangsa.

Kesimpulannya, menurut pandangan guru, inovasi ini dapat memberi impak yang besar dalam usaha untuk memartabatkan kembali peribahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan negara.

Ini pula 10 tip berkesan untuk cikgu yang mengajar kelas belakang https://www.gpsbestari.com/tip/tip-mengajar/1o-tips-ohsem-ini-mungkin-membantu-cikgu-mengajar-kelas-belakang-1.776357