KISAH murid tidak membawa buku dan tidak siapkan kerja sekolah ini sejak zaman dahulu lagi sudah ada.

Apa yang penting adalah tentang bagaimana seseorang guru itu bijak bertindak berdepan dengan situasi ini setiap hari dalam sesi PdP mereka.

Mari kita ikuti perkongsian guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak, Mohd Fadli Salleh ini yang member tips nak bagi murid sentiasa bawa buku dan siapkan kerja sekolah.

Selamat Mencuba cikgu!

+++

Awal-awal mengajar belasan tahun lepas, aku dilema juga bila murid sering tak bawa buku dan tak siapkan kerja sekolah.

Dah la kebanyakan mereka murid lemah. Bila ada kerja sekolah, alasan paling famous diberi,

"Cikgu, saya dah siapkan kerja sekolah, tapi buku tertinggal."

Ah anak. Kau nak tipu siapa? Salah orang lah nak oi. Cara tu cikgu guna dah berkurun lama dah pun.

Sekadar merotan tak jadi apa. Murid dapat sakit, kerja tak siap juga serta ilmu itu tidak tersebar. Setelah lama aku guna pelbagai cara, akhirnya aku jumpa teknik paling berkesan (pada aku) agar murid sentiasa bawa buku dan siapkan kerja.

Setiap kali masuk kelas, aku akan bagitahu dua peraturan wajib untuk murid aku.

1. Bawa buku.

2. Siapkan kerja.

Jika dua peraturan itu tidak dipatuhi, aku akan rotan tapak tangan mereka dengan pembaris kayu murid.

Tidaklah sampai luka ke, lebam ke, sekadar rotan peringatan. Pembaris kayu yang 15cm atau 30cm sahaja pun. Perit seminit dua, pastu hilang lah sakit tu.

Buku yang tak dibawa aku akan anggap kerjanya tak siap. Jadi, murid yang tak bawa buku akan kena hukuman berganda.

Tak bawa buku satu hukuman, tak siap kerja pula hukuman lain.

Jadi, semua murid akan cuba pastikan mereka bawa buku setiap kali masa aku. Walau pun tak siap kerja!

Sekurang-kurangnya mereka hanya kena denda sebab tak siap kerja sahaja, denda tak bawa buku mereka dah lepas dah. Untung dah kat situ kan?

Settle dah masalah tak bawa buku. Tinggal masalah murid tak siap kerja sahaja.

Untuk masalah ni, aku sering ucap pada murid,

"Cikgu tak marah awak salah walau semua soalan yang cikgu bagi. Tapi cikgu sangat marah orang yang malas.

Salah boleh diajar. Penyakit malas ni kat hospital pun tiada ubat.

Jadi, siapkan kerja sekolah. Jangan risau salah. Tapi risaulah jika awak malas.

Yang malas akan kena denda, yang salah tak kena apa-apa.

Kalau tak sempat sangat, tiru buku kawan pun cikgu tak kisah. Asalkan kerja siap.

Kalau cikgu bagi 10 soalan, semua salah pun tak kena denda. Kalau tak siap semua, banyaklah dendanya. Jika awak buat separuh, kena separuh sahaja denda.

Bahkan jika awak siapkan satu sahaja soalan, denda awak lagi ringan dari yang tak buat langsung.

Jadi, cuba pastikan awak buat juga kerja walau sedikit."

Itu pesan aku hampir setiap hari dalam kelas. Dan bila kita dah buat peraturan, kita mesti jalankan. Baru murid hormat dan tahu, kita bukan sembang saja.

'Walk the talk' kata orang putih.

Murid yang memang tak pandai, mereka akan pujuk kawan yang pandai untuk pinjam buku dan tiru. Kat sini dah dapat murid itu bina hubungan dengan kawan yang lain.

Walau murid meniru, benarlah mereka tak faham pun apa yang mereka tiru. Tapi mereka dapat kemahiran lain seperti membaca, mengingat dan menulis.

Ye lah, nak tiru kena baca kan? Maka kemahiran membaca mereka bertambah baik.

Nak tiru juga kena ingat apa yang dibaca kan? Maka kemahiran mengingat mereka akan bertambah baik.

Nak meniru kena salin semula kan? Maka kemahiran menulis mereka makin baik dan tulisan pun makin lama makin cantik.

Dari sini masalah tak bawa buku dan tak siap kerja makin berkurangan. Bahkan setiap hari hampir semua murid bawa buku dan siapkan kerja.

Satu perubahan yang sangat bagus dan murid mula bertanggungjawab dengan pelajaran mereka.

Dari sini, aku beri dorongan dan motivasi pula kat mereka. Agar buat sendiri kerja sekolah tanpa tiru kawan lagi.

"Jangan takut salah, kerana salah tiada denda," ayat keramat ini hampir setiap hari aku ucapkan.

Jadi, makin ramai murid tidak lagi meniru jawapan kawan mereka. Mereka mula buat sendiri kerana mereka tahu, tiada denda untuk jawapan yang salah.

Aku juga ajar kawan yang pandai, jangan beri tiru buta macam itu sahaja. Aku ajar mereka cara ajar kawan.

Suruh mereka ajar kawan yang lemah dan bimbing untuk menjawab soalan. Bukan hulur buku dan minta tiru terus. Mesti ada penerangan walau ringkas.

Aku selalu tekankan,

"Makin banyak awak ajar kawan, makin faham awak dalam sesuatu topik. Makin awak jadi lebih cepat pandai lagi."

Dari situ, aku dapat lihat murid pandai lebih bersemangat untuk mengajar kawan mereka. Mereka ajar dengan cara dan aras mereka sebagai seorang murid.

Kadang-kadang aku bimbing juga cara ajar yang betul bila murid buntu tak tahu bagaimana nak terangkan kat kawan mereka.

Settle semua masalah paling besar bagi mereka yang bergelar guru.

Pada aku, cara ini paling berkesan untuk atasi masalah murid tak bawa buku dan tak siap kerja. Pada orang lain, tak tahu lah.

Bahkan mungkin ada yang tak setuju cara aku kenakan denda pada murid-murid ini. Terpulanglah pada kalian. Masing-masing ada cara tersendiri.

Denda yang diberi bukan untuk menghukum sampai mereka menggelupur kesakitan. Ia sebagai pengajaran agar mereka berubah sikap dan menjadi lebih bertanggungjawab.

Maka tidak hairanlah, sebaik aku melangkah masuk kelas ada murid terus meluru datang depan dan berkata,

"Cikgu, rotanlah saya. Saya tak bawa buku / saya tak siap kerja."

Ya, sampai satu tahap murid tahu mereka telah melakukan kesalahan dan mereka perlu bertanggungjawab atas kesalahan yang mereka lakukan.

Saat ini, aku telah berjaya mengajar mereka apa itu tanggungjawab. Tanggungjawab adalah satu ilmu yang patut semua orang ada dari kecil sampai dewasa.

Ilmu itu bukan hanya diguna dalam kelas, bahkan sepanjang kehidupan mereka.

Membesarlah kalian menjadi generasi yang membanggakan dan bertanggungjawab!

 

#MFS

- Sekadar berkongsi cara -

 

ARTIKEL BERKAITAN: 22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan tip yang perlu pelajar tahu jika ulang alik sendirian ke sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Guru pemulihan ini kongsi kaedah untuk kanak-kanak mudah membaca menggunakan paip pvc