Tampil dengan kelainan tersendiri, Guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, Ustazah Noor Baizura Khalid menggunakan pendekatan ala ‘rancangan televisyen’ bagi menarik minat pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, pendekatan kreatif tersebut amat membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan apatah lagi pembelajaran norma baharu itu menuntut guru supaya lebih kreatif dalam memastikan kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Sejujurnya saya sangat minat untuk mengajar, jadi saya akan pastikan pelajar dapat ilmu dan berinteraksi dengan baik walaupun secara maya, jadi timbul idea untuk buat kelas secara ‘live’ dengan konsep ‘TV Show’ melalui streamyard serta YouTube.

“Saya akan jemput beberapa pelajar lain yang saya gelar sebagai “smart patner” untuk bersama-sama menyampaikan pembelajaran secara langsung pada hari tersebut, pelajar memang teruja sangat seolah-oleh seperti rancangan TV pula, malah banyak soalan berkaitan pembelajaran turut diajukan,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Ustazah Noor Baizura, beliau bukanlah seorang yang mahir dalam ilmu teknologi dan digital namun tetap berusaha mempelajarinya asalkan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran.

Lebih menggembirakannya, bilangan pelajar yang mengikuti setiap sesi PdPR dijalankan adalah amat memuaskan.

“Setiap kali sesi PdPR, saya akan menguar-uarkan terlebih dahulu menerusi poster yang dimuat naik di media sosial, jadi kaedah ini dapat bantu pelajar bersedia lebih awal untuk ikuti pembelajaran Pendidikan Islam.

“Maklum balas diterima dari pelajar dan ibu bapa amat baik, malah ibu bapa yang bekerja di pejabat secara tidak langsung dapat lihat serta pantau sesi PdPR anak-anak mereka dengan lebih dekat,” katanya.